Di Mulakan Dengan

Di Mulakan Dengan

Surah An-Nur ayat 35

Surah An-Nur ayat 35
Amalkanlah ayat ini..insyaAllah urusan seharian dipermudahkan Allah

Friday, October 13, 2017

TENTANG WARNA YG KITA TAK AMBIL TAHU

AWASI REVOLUSI WARNA.

Ekoran siri-siri provokasi yang mencabar sensitiviti umat Islam kebelakangan ini, seharusnya kita meneliti apa yang sedang diagendakan oleh Amerika ke atas negara-negara sasaran mereka.

⚫ Globalisasi.

Kita sedang melalui peperangan era baharu yang memungkinkan kuasa asing masuk secara terbuka ke dalam sesebuah negara. Amerika memainkan peranan itu demi melebarkan pengaruh ideologi & budaya yang melibatkan kepentingannya. Antara ciri negara yang menjadi sasaran mereka adalah:

• Negara Umat Islam.
• Mempunyai sumber kekayaan yang banyak.
• Kedudukan yang strategik.

⚫ Color Revolution.

Ia merupakan pendekatan yang dianggap paling murah dan kurang berisiko ke atas negara pemain (baca Amerika). Pada masa yang sama mudah memanipulasi massa dengan kempen yang 'trendy'. Anasir-anasir Amerika bebas masuk ke negara sasaran mereka atas nama demokrasi.

Sementara itu, keseragaman warna dijadikan sebagai simbol kempen mereka. Seterusnya menampakkan ramainya pengikut mereka apabila yang berhimpun semuanya seragam mengenakan pakaian berwarna sama.

Lantas lahirlah komuniti masyarakat yang berkiblatkan Amerika. Jika berbicara soal hak, kebebasan, gaya hidup maju, politik dan ekonomi, maka Amerikalah yang menjadi qudwah mereka.

Mereka hilang akal dengan melupakan bahawa Amerikalah yang bertanggungjawab menceroboh negara umat Islam dan membunuh umat Islam atas pertuduhan yang direka-reka.

⚫ Dana & Latihan.

Dalang projek Revolusi Warna tidak perlu turun ke lapangan rakyat. Sebaliknya mereka hanya perlu menyuntik dana serta latihan kepada entiti-entiti masyarakat yang dilihat berpotensi dan berpengaruh.

Prospek utama projek ini adalah anak muda. Memandangkan anak muda adalah golongan yang bersemangat, vokal, jarang berfikir panjang dan mudah diperalatkan. Seterusnya ngo-ngo dan parti-parti politik.

Di sinilah kita akan bertemu dengan badan-badan yang berperanan memasarkan dasar Amerika. Seperti NED (National Endowment Of Democracy) yang terang-terangan menyatakan di laman webnya tentang aktiviti pembiayaan ke atas beberapa ngo di serata dunia termasuklah Malaysia.



Selain dari itu, badan seperti International Republican Institute (IRI), International Democratic Institute (IDI) dan International Centre Of Non Violent Conflict (ICNC) turut memainkan peranan.

Hangat juga diperbahaskan dalam wacana-wacana Barat, bahawa Revolusi Warna didalangi oleh George Soros yang menyediakan dana yang banyak kepada proksi-proksi Amerika.

⚫ Pendekatan.

Tipikal gaya mereka beroperasi adalah dengan memanipulasi slogan rakyat. Seolah-olah agenda mereka disokong oleh keseluruhan rakyat. Seterusnya diangkat slogan-slogan yang simplistik, agar mudah meraih sokongan orang ramai yang malas berfikir. Mereka mencipta arus.

Walaupun tidak menggunakan kekerasan fizikal, tetapi gemar mengaplikasikan kaedah provokasi atas alasan ia adalah ekspresi kekecewaan terhadap diskriminasi yang sedang berlaku. Lantas mewujudkan kekacauan dalam pelbagai bentuk.

Ini semua dibuat demi mewujudkan senario yang serba tidak stabil dalam negara. Terhasillah sikap totalitarian versi 'golongan tertindas'. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka akan dinaratifkan sebagai tidak demokratik lagi membelakangkan kemahuan 'rakyat'.

Ditambah lagi dengan propaganda media baharu yang turut menerima dana dari luar, mengolah sokongan kelihatan amat organik. Sedangkan ia hanyalah propaganda yang boleh direka.

⚫ Warna Yang Sinonim.

Mereka menggunakan warna sebagai syiar identiti kempen yang dibawa. Kebanyakkan warna yang dipilih amat mudah dikaitkan dengan unsur-unsur baik, yang agak sukar dinegatifkan.

Sebagai contoh warna Ungu yang sinonim dengan gerakan Feminisme. Perjuangan yang kononnya membebaskan wanita dari menjadi mangsa diskriminasi masyarakat tradisi. Tidak seperti merah jambu, warna ungu turut 'ngam' dipakai oleh lelaki.

Warna jingga pula sinonim dengan perjuangan Liberalisme yang cuba dijelmakan dengan nafas baharu. Seperti yang dipersembahkan oleh buku The Orange Book, Reclaiming Liberalism terbitan Liberal Democrats pada 2004.

Begitu juga bendera pelangi, merupakan lambang rasmi bagi gerakan LGBT seluruh dunia. Kita dapati kebelakangan ini, syarikat-syarikat gergasi mengambil langkah berani mempromosikan LGBT. Terdahulu syarikat kereta Honda, yang terkini pula syarikat minyak Shell. Mereka cuba memecah tembok agama dan tradisi ketimuran yang subur di Malaysia.

⚫ Normalisasi Gaya Hidup Haiwan.

Siri-siri provokasi seperti yang kita saksikan pada hari ini adalah bertujuan untuk membiasakan masyarakat agar menerima budaya Barat yang serba songsang. Mereka tahu, pada peringkat awal pasti mendapat tentangan keras.

Proses ini akan diulang-ulang sehinggalah masyarakat kita lali. Maka ketika itulah, mereka bakal meraih kejayaan merosakkan generasi baharu yang sejak awal kelahiran telah melihat kempen songsang tajaan Amerika.

⚫ Peka.

Inilah antara sudut yang amat perlu diperhalusi oleh pemain-pemain politik agar tidak terjerat. Jika tidak berwaspada, permainan 'Soft Power' bawaan Amerika menyebabkan kita turut didorong untuk bersama menjayakan agenda asing mereka.

Topik ini bukan teori konspirasi, tetapi isu penting yang hangat dibincangkan dalam wacana politik dunia. Walaupun cukup terlambat, namun menyedarinya hari ini jauh lebih baik daripada terus merasa selesa seolah-olah musuh tidak berbuat apa-apa.

Padanlah Allah berpesan agar jangan mudah terpengaruh dengan slogan yang kelihatan baik, hakikatnya serba merosakkan:

"Apabila diseru kepada mereka, janganlah kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi. Mereka menjawab "Sesungguhnya kamilah golongan reformis". Ketahuilah sesungguhnya mereka golongan perosak, sedangkan mereka tidak sedar" - al-Baqarah 11-12.

Abdul Mu'izz Muhammad
13 Oktober 2017.

Tuesday, October 10, 2017

NASIB PEMBELA??

PEMBELA YANG DIMANGSAKAN.

Kejatuhan Abbasiyyah merupakan sejarah yang memalukan umat. Tersimpan pelbagai pengajaran akibat tersampuk penyakit leka yang berpanjangan.

⚫ Ejen Tatar.

Pemerintah Tatar, Hulagu Khan berjaya menanam ejennya yang bernama Muayyidduddin al-Alqami ke dalam kerajaan Abbasiyyah dalam tempoh masa yang lama. Sehingga Alqami diberi kepercayaan sebagai orang paling kanan khalifah. Ramai yang tidak sedar hal ini kerana telah lama didoktrin agar jangan sibuk hal ancaman ke atas khilafah. Mereka diprogramkan untuk kekal lalai.

⚫ Petualang.

Alqami amat dipercayai ketika itu. Namun, dia jugalah yang kerjanya memujuk khilafah agar menyerah diri beralasankan perundingan 'win win situation'.

Dia sentiasa mempengaruhi khilafah supaya akur terhadap segala arahan Tatar. Kesan dari itu, kewaspadaan khilafah semakin tumpul dan tentera dibiarkan 'lemau' tanpa persiapan rapi.

Alqami juga berperanan mendedahkan data maklumat Abbasiyyah kepada Tatar. Di khalayak umum, dia dianggap sebagai orang kepercayaan & harapan Abbasiyyah. Namun hakikatnya, dia adalah perisik Tatar.

⚫ Mujahiduddin Aybak & Sulaiman Shah.

Ketika itu, muncul insan yang sedar dengan keanehan yang berlaku ke atas Abbasiyyah. Walaupun telah terlewat, Mujahiduddin Aybak mempersiapkan tentera Abbasiyyah yang masih lagi berbaki kesedaran. Diikuti oleh Sulaiman Shah.

Percikan api kesedaran umat untuk bangkit berjihad merupakan signal bahaya ke atas Tatar. Api tersebut mesti segera dipadamkan.



⚫ Plot.

Menyedari perkembangan tersebut, Hulagu mengarahkan Alqami agar cepat membunuh Aybak & Sulaiman. Ketika itu, Alqami amat dipercayai dan dianggap sebagai jurucakap Abbasiyyah.

Lantas Alqami mewartakan bahawa Aybak & Sulaiman bersama tentera mereka merupakan puak merbahaya yang mengancam keselamatan Abbasiyyah. Realitinya Tatar yang terancam. Sedangkan bangkitnya mereka adalah untuk melawan Tatar, semata-mata mahu membela Abbasiyyah.

Namun malangnya, kata-kata Alqami lebih dipercayai. Maka mereka dihukum bunuh atas tuduhan kononnya menderhaka & memberontak. Hakikatnya merekalah hero Abbasiyyah. Hulagu puas melihat jentera kerajaan Abbasiyyah diperalatkan untuk membunuh orangnya sendiri.

⚫ Kesal.

Setelah dari tragedi tersebut, Tatar selesa menawan Abbasiyyah tanpa tentangan. Baghdad tumbang dalam keadaan bogel tanpa maruah. Kota mengalirkan darah hanyir. Pembesar-pembesar dibunuh sekaligus. Khalifah digulung dalam permaidani, kemudian dipijak hingga mati. Masing-masing menanggung akibat atas kelalaian sendiri. Sejarah yang memalukan, kebodohan dan kealpaan umat menatijahkan jatuhnya sebuah empayar yang asalnya dibanggakan maju & berpengaruh.

⚫ Waspada Adalah Hikmah.

Tercatat pada anak panah tentera Tatar, sebaris jampi politik:

"Sekiranya Tuhan hendak menyempurnakan takdirnya, Dia berupaya membodohkan akal orang yang sepatutnya berakal"

Abdul Mu'izz Muhammad
10 Oktober 2017.

Sunday, October 1, 2017

MASIH ADA GAYA PEMIKIRAN FIRAUN DI MALAYSIA

FIRAUNISME.

Hari ini adalah hari tenggelamnya Firaun bersama kuncu-kuncunya di Laut Merah. Hari kemenangan Nabi Musa. Perayaan Hari Asyura' adalah manifestasi perlawanan antara Islam dan pemerintahan diktator.

Al-Quran mengulangi nama Firaun sebanyak 74 kali di dalam 26 surah. Sebagai penekanan, betapa kita umat Islam perlu mengenali perwatakan Firaun.

⚫ Takut Dengan Bayang Sendiri.

Kesan dari sikap gila kuasa, menyebabkan psikologi Firaun sentiasa diselubungi rasa terancam. Sentiasa merasakan ada orang ingin menjatuhkannya. Imam Ibnu Kathir telah menafsirkan surah Ibrahim ayat 49 menjelaskan tentang mimpi ngeri yang menimpa Firaun.

Mimpi tersebut menampakkan munculnya api dari Baitul Maqdis melimpah ke penempatan kaum Qibti yang ditakwilkan sebagai amaran bahawa akan muncul pencabar Firaun di kalangan Bani Israel. Menambahkan lagi rasa takut dengan bayang sendiri yang dideritai oleh Firaun.

⚫ Pukul Rata.

Ekoran dari ketakutan itu, Firaun menguatkuasakan akta secara pukul rata. Mana-mana wanita yang mengandung dari kalangan Bani Israel hendaklah disenarai-hitamkan. Seterusnya jika lahirnya bayi lelaki, wajib dibunuh.

⚫ Diktator.

Firaun adalah lambang karektor penguasa yang angkuh, sekaligus degil bencikan nasihat dan kritikan.

"Sesungguhnya Firaun angkuh di atas muka bumi" al-Qasas 4.

Bahkan Firaun mensyaratkan sesiapa yang mahu bersama dengan Islam, mesti meminta izin kepadanya terlebih dahulu. Sebagai contoh ketika golongan ahli sihir memeluk Islam, Firaun membentak:

"Apakah berani kamu beriman dengan Musa sedangkan kamu belum meminta izin pada aku" - al-Qasas 71.



⚫ Gemar Menyerang Peribadi.

Mengherdik, mengejek dan memperlekeh lawan tanpa membalas hujah yang sewajarnya. Firaun menyerang peribadi Nabi Musa yang tidak lancar dalam pengucapan sebagai cubaan melencong dari menjawab hujah yang dikemukakan.

"Inilah orangnya (Musa yang kononnya mahu menentangku), sedangkan cakapnya pun hampir tidak difahami" - al-Zukhruf 52.

⚫ Suka Ungkit Jasa.

Ketika Nabi Musa bersungguh menyampaikan mesej da'wah, Firaun bermudah-mudah memperlekeh Nabi Musa. Kamu budak lagi. Siapa yang makan garam dulu? Itulah gaya Firaun dengan naratif yang selalu kita dengar.

"Bukankah kami yang telah membesarkanmu (di dalam istana kami), waktu itu kamu masih budak" - al-Syu'ara 18.

⚫ Obses Dengan Pembangunan Material.

Firaun bukan sekadar menawarkan manifesto yang belum dijayakan. Bahkan dia membentangkan rekod dan bukti kejayaannya membangunkan Mesir. Firaun dilihat amat kompiten dari sudut material. Sedangkan yang ditimbulkan oleh Nabi Musa bukan isu pembangunan, tetapi isu aqidah. Firaun gagal memahami isu sebenar.

"Bukankah aku penguasa yang telah memajukan Mesir? Dan di bawah pentadbiranku sungai-sungai dapat mengalir. Maka apakah kamu tidak menyaksikan (kejayaan) aku?" - al-Zukhruf 51.

Sungai pada zaman tersebut adalah sistem perhubungan jarak jauh. Sama fungsinya seperti lebuhraya pada hari ini.

⚫ Projek Pembodohan.

Firaun suka pengikutnya bodoh. Logik Firaun, jika pengikutnya pandai susah pula untuk dieksploit dan ditipu olehnya. Maka projek pembodohan dilaksanakan sekian lama, agar cara berfikir pengikutnya boleh dikuasai. Firaun menganjurkan agar pengikutnya ikut membuta tuli dan berikan kepercayaan sepenuhnya kepada Firaun.

"Maka Firaun meringankan akal (memperbodohkan) kaumnya, maka mereka sentiasa patuh kepadanya" - al-Zukhruf 53.

⚫ Materialisme & Tahyul.

Firaun mendoktrin pengikutnya agar mengukur benar dan salah berdasarkan ukuran material. Jika kaya dan mendatangkan laba keuntungan, maka ia adalah benar. Jika miskin dan tidak mendatangkan laba keuntungan, maka ia adalah salah.

"(Jika Musa benar) mengapa tidak dipakaikan padanya gelang dari emas?" - al-Zukhruf 53.

Pada masa yang sama Firaun mendoktrin kononnya perjuangan yang benar mesti dihiasi dengan fenomena aneh. Padahal apabila mu'jizat Nabi Musa benar-benar terpampang depan mata, Firaun tetap degil.

"Ataupun (sepatutnya) malaikat datang mengirinya (Musa)" - al-Zukhruf 53.

⚫ Bergantung Dengan 3 Jentera.

• Think tank politik : Kumpulan strategis yang dipimpin oleh Haman.

• Ekonomi : Golongan korporat yang membiayai kos-kos aktiviti dan projek Firaun. Ketuanya adalah Qarun.

• Media Propaganda : Ahli sihir seramai 80 ribu orang yang memanipulasi minda rakyat dan menguasai persepsi mereka.

Misi media propaganda sememangnya menelan belanja yang besar. Di sini tergambar hubungan yang saling memerlukan antara 3 jentera di atas. Ahli sihir Firaun meminta peruntukan demi melangsungkan tugas mereka.

"Dan datang ahli sihir kepada Firaun lantas bertanya "Apakah kami beroleh upah sekiranya kami menang berlawan?" Firaun menjawab "Ya, dan sesungguhnya kamu benar-benar dikira golongan (jentera) yang dekat denganku" - al-A'raf 113-114.

⚫ Acah-acah Demokratik.

Banyak gimik yang Firaun lakukan untuk kelihatan kononnya sangat terbuka dan mendahulukan suara ramai. Gimik ini berjaya kerana majoriti rakyatnya telah dibodohkan. Maka majoriti yang bodoh itu sentiasa menyokong kejahatan Firaun. Lantas terhasillah demokrasi fantasi.

Firaun menyediakan pentas terbuka secara live, debat antaranya dan Nabi Musa. Bukankah itu kelihatan sangat demokratik? Boleh belek surah Taha ayat 23 hingga 27.

Begitu juga ketika Firaun mewartakan akta yang menyokong kezalimannya, dia mengolah agar dilihat kononnya keputusan dipilih oleh orang ramai. Firaun hanya mahu dilihat sebagai pelaksana yang menterjemahkan kehendak ramai.

"Apakah pandangan kamu semua?" - al-Syu'ara' 35.

Pungutan suara ini dibuat oleh Firaun untuk mencipta keputusan agar Nabi Musa diperangi.

⚫ Politik Ugut.

Apabila Firaun gagal memanfaatkan gimik demokrasinya, maka dia melancarkan ugutan. Sekejap bebas memilih, sekejap tidak boleh memilih. Apabila Firaun kaget melihat rakyatnya sudah mula tertarik dengan hujah Nabi Musa, maka Firaun mewartakan:

"Seseungguhnya jika kamu (Musa) menyembah tuhan lain selain aku, aku akan pastikan kamu tergolong di kalangan banduan" - al-Syu'ara 29.

⚫ Islamphobia.

Firaun menakut-nakutkan rakyatnya. Kononnya Islam yang dibawa oleh Nabi Musa mendatangkan bahaya kepada rakyat. Hakikatnya ajaran Nabi Musa langsung tidak mengancam keselamatan rakyat. Namun sentimen orang bawahan dimainkan oleh Firaun. Tujuannya adalah untuk menarik sokongan agar rakyat bersama-sama menentang Nabi Musa yang mengancam kuasa politik Firaun.

"Firaun berkata kepada pembesar-pembesar sekelilingnya, sesungguhnya Musa itu benar-benar ahli sihir. Dia berpotensi menghalau kamu semua dari tanah air ini" - al-Syu'ara' 34-35.

⚫ Tidak Faham Bahasa Bala.

Atas kedegilan Firaun, Allah menimpakan bala yang datang bertimpa-timpa sebagai peringatan dan mesej, bahawa permainan yang dimainkan oleh Firaun adalah permainan yang bahaya. Allah berfirman:

"Maka kami datangkan kepada mereka bala taufan, belalang, kutu, katak dan sungai darah sebagai bukti yang jelas. Tetapi mereka tetap menyombong diri dan adalah mereka kaum yang berdosa" - al-A'raf 133.

Allah mendatangkan bala yang memusnahkan kemajuan ekonomi Mesir yang cukup dibanggakan oleh Firaun. Taufan yang memporak-perandakan. Belalang, kutu dan katak yang mengancam industri pertanian. Air yang merupakan sumber kehidupan bertukar jadi darah.

Malangnya Firaun tidak menghiraukan mesej Allah, menganggap semua itu hanyalah bencana alam semulajadi.

⚫ Dendam Yang Membodohkan.

Inilah yang mendorong Firaun mampus. Dendamnya terhadap Nabi Musa meluap-luap. Hingga menyebabkan dia membuat tindakan bodoh. Hilang pertimbangan rasional.

Firaun mengerahkan semua tenteranya untuk dimusnahkan oleh Allah sekaligus. Firaun buat kerja bodoh dengan masuk ke Laut Merah sedangkan dia menyaksikan laut terbelah kerana mu'jizat Nabi Musa. Bila-bila boleh tertangkup semula, memandangkan tongkat suiz laut berada di tangan Nabi Musa.

"Dan kami mengizinkan Bani Israel melintasi laut. Lalu mereka dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya dengan penuh dendam dan permusuhan" - Yunus 90.

Kebodohan di saat akhir ini ditambah lagi dengan dorongan dari pengampu-pengampu Firaun yang dibelanya sejak dahulu. Mereka memotivasikan Firaun untuk buat apa sahaja walaupun tindakannya bodoh dan bunuh diri.

⚫ Kesimpulan.

Sebenarnya banyak lagi pengajaran dari karektor Firaun yang terakam di dalam al-Quran. Yang perlu kita faham, sikap sedemikian akan kekal bersilih ganti di kalangan manusia sepanjang zaman hinggalah kiamat. Kekalknya al-Quran, bermakna watak-watak yang ada di dalamnya turut kekal wujud.

Beruntunglah mereka yang melihat lakonan dunia dengan cerminan al-Quran. Semoga kita tidak jadi seperti Firaun.

Abdul Mu'izz Muhammad
1 Oktober 2017.

Thursday, September 21, 2017

PERATURAN KETAT TENTANG ARAK DI SINGAPURA.

Negara kita heboh nak anjurkan pesta arak besar-besaran setiao bulan Oktober yg diberi nama OKTOBER FEST. Disokong pulak oleh pemimpin-pemimpin politik yg takut kehilangan undi, tidak kira dari kerajaan mahupun pembangkang.
Sedangkan di negara lain menyekat penggunaan atau waktu penjualan dan meminum arak di tempat awam, contohnya di Singapura.

Akta Kawalan Arak di Singapura: 

1. Dilarang minum arak di tempat awam dari pukul 10.30 malam - 7 pagi.

2. Dilarang jual arak dari pukul 10.30 malam - 7 pagi.

3. Di Geylang dan Little India, Dilarang minum arak di Zon Kawalan Arak dari 7 pagi Sabtu - 7 pagi Isnin. 7 pagi di hari cuti umum sehingga 7 hari selepas cuti umum.



4. Kedai di Zon Kawalan Arak dilarang jual arak dari 7 petang hujung minggu termasuk cuti umum. 

5. Boleh minum arak melebihi masa yang ditetapkan dengan syarat ada permit sah dan boleh minum arak dalam tempoh permit itu sahaja. Minum arak pun dilokasi BBQ sahaja.

6. Nak jual arak melebihi 10.30 malam, kena mohon dari Polis. Kelulusan Polis bergantung kepada kesannya pada orang awam. Pihak penjual juga mesti melaksanakan kawalan untuk mecegah kesan dari masalah minuman arak.

7. Sesiapa sahaja yang melanggari peraturan ini akan didenda SGD 1 ribu - 2 ribu serta penjara 3 bulan. 

8. Kedai yang menjual lebih dari masa yang ditetapkan akan didenda SGD 10 ribu.

9. Denda akan dilipatgandakan sebanyak 1.5 kali jika perlanggaran terhadap kawalan ini berlaku di Zon Kawalan Arak.

Sumber - The Strait Times Singapore -
http://www.straitstimes.com/singapore/what-you-can-or-cannot-do-under-the-new-alcohol-law

TANDA AKHIR ZAMAN

Sempena tahun baharu Hijrah 1439, kita semak kembali beberapa pesanan Rasulullah:

⚫ Paradigma manusia menjadi sewel:

"Akan datang ke atas kamu, tahun-tahun pembohongan. Orang yang menipu dipercayai dan orang yang benar dituduh penipu. Orang yang jujur dikhianati dan pengkhianat diberikan amanah" - hr Imam Ahmad.

⚫ Normalisasi dosa melalui penjenamaan semula:

"Malam dan siang tidak berlalu (kiamat) hingga segolongan umatku meminum arak dan mereka menjenamakannya dengan nama yang lain"  - hr Muslim.

⚫ Politikus syaitan:

"Terjadi selepasku akan muncul para pemimpin yang tidak mengikuti petunjukku dan tidak mengikuti sunnahku. Antara mereka ada yang berhati syaitan dan berjasad manusia" - hr Muslim.

⚫ 6 bencana yang menyukarkan hidup:

"Cepatlah kalian mati apabila terjadinya enam perkara. Pemerintah dikuasai orang-orang jahil, banyaknya penguatkuasa yang mencengkam, undang-undang boleh dijual beli, ringannya pertumpahan darah, terputusnya silaturrahim dan anak muda menjadikan al-Quran sebagai nyanyian. Dipersembahkan alunan al-Quran dalam keadaan dia adalah orang yang tidak memahaminya" - hr Imam Ahmad.

⚫ Umat rosak secara beransur-ansur. Sekularisme sebagai pemula:

"Simpulan-simpulan agama Islam akan terlucut satu persatu. Maka setiap kali terlucut, umat akan berusaha berpaut dengan simpulan yang lain. Yang paling awal terlucut adalah undang-undang dan yang terakhir adalah solat" - hr Imam Ahmad.

⚫ Sukar untuk istiqamah dengan Islam:

"Segeralah beramal soleh, sebelum terjadinya ujian keliru seperti malam yang gelap gelita. Ketika itu seseorang beriman pada waktu pagi, kafir pada waktu petang. Atau petangnya beriman, paginya pula kafir. Ini kerana mereka menjual agama dengan dunia" - hr Muslim.

⚫ Islamphobia:

"Akan datang zaman, orang yang berpegang dengan Islamnya seperti menggenggam bara api" - hr Tirmizi.

Sewajarnya kita bimbang dan berhati-hati.

Abdul Mu'izz Muhammad
21 September 2017

Tuesday, September 19, 2017

POLITIK MATERIALISME

Hari ini kita melihat, isu rasuah di tempatkan di tempat teratas dalam carta keutamaan berpolitik. Hinggakan dosa-dosa yang lain boleh dibilas asalkan kononnya politikus itu memerangi rasuah.

⚫ BENCANA FITRAH.

Fenomena ini terhasil dari anutan materialisme yang menganggap nilai kebendaan adalah segala-galanya. Sementara kerosakan dalam aspek yang lain diabaikan. Seolah-olah manusia hanya mempunyai perut yang perlu dipenuhkan. Sedangkan persoalan berkait dengan kualiti jiwa yang memanusiakan manusia, diabaikan.

Inilah yang turut menimpa Barat, walaupun kelihatan maju tetapi sarat dengan masalah-masalah moral yang merosakkan manusia. Dahulu siapa sangka Barat bakal berdepan dengan konflik jantina? Hari ini kita melihat, sesatnya LGBT membuatkan binatang pun bingung melihat manusia. Allah berfirman:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ
"Barangsiapa yang berpaling dari peringatanku, maka sesungguhnya dia akan melalui jalan yang sempit. Dan kami bangkitkannya di hari kiamat dalam keadaan buta" - Surah Taha ayat 124.



Dahulu kita masih lagi mendengar dalam ruang-ruang politik diperbahaskan isu pokok seumpama murtad, masalah sosial, anak luar nikah, arak dan keruntuhan akhlak.

Hari ini, topik-topik tersebut kian tidak mendapat sambutan di kalangan pemain-pemain politik. Ancaman umpama liberalisme dan hedonisme dianggap tidak relevan atas alasan kononnya lawan rasuah terlebih dahulu. Seolah-olah jika selesai masalah rasuah, segalanya akan selesai. Kononnya negara kembali harmoni.

⚫ POLITIKUS YANG MERAGUKAN.

Persoalan, sedarkah kita bahawa yang menguruskan material adalah manusia. Jika manusianya jenis tidak kenal Tuhan, tidak sedar dosa pahala, kaki botol dan liar kehidupannya, apakah mereka boleh dipercayai benar-benar jujur melawan dosa rasuah? Ataukah persaingan yang dipersembahkan hari ini hanya gimik sandiwara merebut kuasa?

Dalam erti kata yang lain, perwatakan mereka sekadar 2x5 dengan penguasa yang mereka katakan zalim pada hari ini. Selagi berkiblatkan kebendaan, seseorang amat berpotensi untuk menjadi penguasa yang zalim.

Abdul Mu'izz Muhammad
19 September 2017

Saturday, September 16, 2017

TRAGEDI TAHFIZ TERBAKAR, SEBUAH PENDEDAHAN DARI ALLAH

Negara digemparkan dengan peristiwa yang mengorbankan 23 nyawa insan-insan al-Quran. Ajaibnya jiwa orang-orang beriman, bersyukur atas nikmat dan cekal bersabar apabila diuji. Allah memaparkan peristiwa di hadapan mata, sebagai pelajaran hidup yang memperkenalkan kita akan gelagat sebenar manusia.

⚫ Terzahir jelas golongan yang bernama Islam tetapi berhati serigala. Sentiasa menanti peluang untuk menghemburkan prejudis terhadap usaha iman yang telah lama terbuku dalam pekung masing-masing. Seterusnya mencari-cari alasan untuk membantutkan perkembangan agama Islam.

⚫ Menjentik jiwa kita yang masih berbaki iman, agar semakin menyayangi insan-insan al-Quran, sementara mereka masih ada bersama kita.

⚫ Menyedarkan masyarakat bahawa selama ini usaha agama dibangunkan secara berdikari dalam keadaan serba kekurangan.

⚫ Mendedahkan betapa hipokritnya politikus yang selama ini begitu bengis terhadap institusi agama. Namun setelah tidak mempunyai kuasa, menunjukkan simpati kononnya perihatin.

⚫ Untuk penguasa, bantulah golongan yang mewakilkan diri untuk menjaga agama Islam kita, sementara mereka masih ada. Jangan selepas mereka tiada, baru terhegeh-hegeh sudi membantu.

⚫ Kadar jenayah semakin dahsyat. Bahkan telah menjahanamkan manusia bertukar menjadi binatang. Undang-undang yang sedia ada terbukti gagal menakutkan penjenayah dan bakal-bakal penjenayah. Kembalilah kepada undang-undang Islam. Pintu taubat masih terbuka.

Beruntunglah kalian adik-adik huffaz yang beroleh syahid. Malanglah kami yang masih hidup di dunia, tetapi masih tidak sedar diri.

Abdul Mu'izz Muhammad
16 September 2017.

Friday, August 4, 2017

IBRAH AL-KAHFI : MEMBINA PELAPIS

Di dalam surah al-Kahfi, Allah mengajar tentang kepentingan ilmu untuk menghadapi fitnah akhir zaman. Melalui kisah pengembaraan ilmu Nabi Musa, kita bertemu dengan watak 'budak' yang menemani baginda. FirmanNya:

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَاهُ لَا أَبْرَحُ حَتَّىٰ أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا
"Dan berkata Musa kepada budaknya, aku tidak akan berhenti berjalan selagi belum sampai ke pertemuan dua laut atau aku sanggup berjalan hingga bertahun-tahun" - al-Kahfi 60

⚫ Anak Muda.

Dalam penceritaan ini, Allah mungulangi 2 kali panggilan 'budak', merujuk kepada Yusya' Bin Nun. Betapa Allah mementingkan soal pembinaan generasi muda demi melakar perjalanan Islam yang mendatang.

⚫ Pembudayaan Ilmu.

Pembinaan pelapis bukanlah semata-mata dengan mengapi-apikan semangat anak muda kemudian mengeksploit mereka seenaknya. Sebaliknya pelapis adalah aset yang perlu diilmukan. Maka padanlah Allah menyampaikan mesej pembinaan pelapis dengan kisah pengembaraan ilmu Nabi Musa.

Yusya' diajar oleh Nabi Musa akan adunan ilmu yang dimatangkan dengan pendedahan realiti. Beliau dibawa oleh Nabi Musa untuk menyaksikan peristiwa yang mengelirukan. Beliau diasuh dengan gaya berfikir Nabi Musa yang kritikal, pada masa yang sama, beliau menyaksikan hikmah Nabi Khadir.



⚫ Peka.

Generasi pelapis mestilah diasuh untuk mengenal-pasti realiti. Nabi Musa menyuruh Yusya' agar memerhati persekitaran, lokasi pertemuan dua laut dan ikan yang menjadi bekalan mereka melompat kembali ke laut.

Bukanlah pelapis yang buta dan pekak lagi tidak sensitif. Sekadar ikut-ikutan tanpa mengetahui realiti cabaran sebenar.

⚫ Sedar Akan Ancaman.

Ketika Yusya' alpa, beliau terus mengakui punca kealpaanya adalah kerana diri sendiri yang terlupa dan syaitan yang sentiasa beragenda jahat. Yusya' jelas akan kelemahan diri sendiri dan ancaman musuh, iaitu syaitan dan rangkaiannya.

وَمَا أَنسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ
"Dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa melainkan syaitan" al-Kahfi 63.

Maka tidak benar jika sesetengah menganggap kononnya semua masalah yang menimpa ke atas Islam adalah berpunca dari kelemahan diri sendiri. Kononnya tidak perlu bincang tentang musuh yang sentiasa beragenda jahat. Akhirnya ditipu musuh kerana tidak kenal musuh.

⚫ Pewaris.

Dari asuhan yang telah dilalui, akhirnya Yusya' dilantik sebagai Nabi yang menggantikan Nabi Musa. Bahkan Nabi Yusya' mencapai kejayaan yang tidak sempat diraih oleh Nabi Musa, iaitu menakluk Baitul Maqdis.

Jika Nabi Musa dikurnia mu'jizat membelah laut, Nabi Yusya' pula dikurnia mu'jizat membelah sungai.

Yang pasti, semua Nabi mewariskan ilmu dan rasa amanah terhadap perjuangan Islam. Itulah ciri-ciri murabbi yang ada pada para Nabi & Rasul.

Abdul Mu'izz Muhammad
4 Ogos 2017.

Saturday, July 29, 2017

LAWRENCE OF ARABIA & KEBODOHAN UMAT YANG MELUPAKAN AL-QURAN.

Apabila mengamati sejarah pemberontakan Arab ke atas Uthmaniyyah, pasti akan muncul satu watak yang berperanan besar melobi pemimpin-pemimpin Arab.

⚫ Intelijen British.

Thomas Edward Lawrence (1888-1935) merupakan perisik yang dihantar oleh British untuk menguasai pemimpin-pemimpin Arab. Beliau melakukan tinjauan geografi di tanah Arab seawal 1914 dan merekod pemetaan bagi pihak British.

Lawrence juga menyelami budaya dan kemahiran berbahasa Arab, sebagai kunci mendapatkan akses mendekati pemimpin-pemimpin Arab.

⚫ Misi.

Lawrence menggalas misi British. Menyalakan api pemberontakan Arab melawan Khilafah Uthmaniyyah. Antara kaedah yang diaplikasikan oleh Lawrence adalah:

• Mendekati pemimpin-pemimpin Arab dan berusaha memenangi hati mereka. Lawrence menggambarkan bahawa dirinya jujur membantu Arab keluar dari 'penjajahan' Uthmaniyyah. Sebutkan apa sahaja, Lawrence sedia membantu.

• Membodek pemimpin-pemimpin Arab. Kononnya merekalah yang paling layak mewakili umat, bukan Uthmaniyyah yang berbangsa Turki.

• Menyalakan sentimen kebangsaan yang amat berperanan menjadi asas kepada doktrin nasionalisme Arab.

• Tidak bersikap kontradik dengan nafsu pemimpin-pemimpin Arab yang kebulur kuasa. Lawrence tahu mereka sudah sedia prejudis dengan Uthmaniyyah.

• Maka Lawrence mewiridkan kempen anti Uthmaniyyah. Menyebabkan pemimpin-pemimpin Arab menganggap Lawrence 'sefikrah' dengan mereka. Ketika itu, budaya memaki Uthmaniyyah menjadi 'trend' yang pasti mendapat sambutan ramai.

• Memanipulasi isu korupsi Uthmaniyyah yang sememangnya berlaku. Lalu diolah kefahaman kononnya adalah lebih baik bersekutu dengan British berbanding Uthmaniyyah yang korup itu.

Dari kaedah-kaedah tersebut, pemimpin-pemimpin Arab meletakkan kepercayaan penuh kepada si kafir itu. Lawrence si anak muda British ditatang ibarat anak 'angkut' pemimpin-pemimpin bodoh.

Bagi pemimpin-pemimpin Arab, mereka kononnya telah berjaya mempengaruhi dan mempergunakan Lawrence. Hakikatnya mereka yang menjadi buah catur British.

⚫ Revolusi Agung Arab.

Pemimpin-pemimpin Arab melancarkan Revolusi Agung Arab yang bertemakan semangat nasionalisme Arab. Hasil dari lobi 'nasihat' Lawrence.

Arab bangsa mulia. Apakah wajar Arab duduk di bawah naungan Uthmaniyyah yang berbangsa Turki itu? Uthmaniyyah adalah penjajah, Lawrence adalah orang kepercayaan dan British adalah sekutu yang baik. Itulah doktrin yang ditanam.

Pemberontakan Arab menentang Uthmaniyyah berlangsung dari 1916 hingga 1918, menatijahkan sejarah hitam bagi umat Islam.

⚫ 'Menikmati' Bantuan British.

Arab bergembira dengan tawaran senjata dari British. Mereka gunakan persenjataan British demi memerangi Uthmaniyyah, sedangkan masing-masing seagama Islam. Rela menjadi alat berbunuhan sesama sendiri.

Ketika itu kewarasan telah hilang. Landasan-landasan keretapi Uthmaniyyah diletupkan. Ia sebagai usaha mensabotaj sistem perhubungan Uthmaniyyah.

⚫ Sejarah Hitam.

Dari pemberontakan tersebut, menghasilkan kejayaan British dan Perancis melakar peta baharu bagi wilayah-wilayah peninggalan Uthmaniyyah melalui perjanjian Sykes Picot pada tahun 1916.

Kemudian menatijahkan perjanjian Balfour pada tahun 1917 yang memberi laluan kepada Yahudi dari Eropah untuk mula menetap di Palestin. Maka bermulalah episod penjajahan ke atas al-Quds.

Pada tahun 1924 jatuhlah Uthmaniyyah. British bergembira, Arab yang tidak sedar diri menganggap merekalah yang bakal dinobat sebagai khilafah yang baharu. Malangnya ia hanyalah fantasi.

Misi Lawrence telah selesai. Beliau pulang ke tanah airnya dan mati pada tahun 1935 akibat terlibat dalam kemalangan motorsikal.

⚫ Berwaspada Adalah Hikmah Yang Tercicir.

Apa yang telah terjadi merupakan akibat dari tidak beringat dengan ingatan Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ ۚ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil golongan selain dari kamu sebagai orang kepercayaan. Sedangkan mereka tidak henti-henti berusaha memudaratkan kamu. Mereka amat suka menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut-mulut mereka, dan apa yang tersembunyi di hati-hati mereka lebih jahat. Sesungguhnya Kami telah terangkan kepadamu ayat-ayat Kami. Itu pun jika kamu berfikir" - Ali Imran 118.

Inilah antara cebisan sejarah kebodohan segelintir umat Islam yang mempercayai pihak asing menyebabkan mereka menjadi buah catur musuh. Allah mencabut maruah mereka.

Jika dahulu musuh boleh buat, adalah amat logik mereka mengulanginya hari ini. Bahkan pasti lebih licik. Malangnya kita selalu lalai.

Abdul Mu'izz Muhammad
29 Julai 2017