Di Mulakan Dengan

Di Mulakan Dengan

Surah An-Nur ayat 35

Surah An-Nur ayat 35
Amalkanlah ayat ini..insyaAllah urusan seharian dipermudahkan Allah

Friday, October 13, 2017

TENTANG WARNA YG KITA TAK AMBIL TAHU

AWASI REVOLUSI WARNA.

Ekoran siri-siri provokasi yang mencabar sensitiviti umat Islam kebelakangan ini, seharusnya kita meneliti apa yang sedang diagendakan oleh Amerika ke atas negara-negara sasaran mereka.

⚫ Globalisasi.

Kita sedang melalui peperangan era baharu yang memungkinkan kuasa asing masuk secara terbuka ke dalam sesebuah negara. Amerika memainkan peranan itu demi melebarkan pengaruh ideologi & budaya yang melibatkan kepentingannya. Antara ciri negara yang menjadi sasaran mereka adalah:

• Negara Umat Islam.
• Mempunyai sumber kekayaan yang banyak.
• Kedudukan yang strategik.

⚫ Color Revolution.

Ia merupakan pendekatan yang dianggap paling murah dan kurang berisiko ke atas negara pemain (baca Amerika). Pada masa yang sama mudah memanipulasi massa dengan kempen yang 'trendy'. Anasir-anasir Amerika bebas masuk ke negara sasaran mereka atas nama demokrasi.

Sementara itu, keseragaman warna dijadikan sebagai simbol kempen mereka. Seterusnya menampakkan ramainya pengikut mereka apabila yang berhimpun semuanya seragam mengenakan pakaian berwarna sama.

Lantas lahirlah komuniti masyarakat yang berkiblatkan Amerika. Jika berbicara soal hak, kebebasan, gaya hidup maju, politik dan ekonomi, maka Amerikalah yang menjadi qudwah mereka.

Mereka hilang akal dengan melupakan bahawa Amerikalah yang bertanggungjawab menceroboh negara umat Islam dan membunuh umat Islam atas pertuduhan yang direka-reka.

⚫ Dana & Latihan.

Dalang projek Revolusi Warna tidak perlu turun ke lapangan rakyat. Sebaliknya mereka hanya perlu menyuntik dana serta latihan kepada entiti-entiti masyarakat yang dilihat berpotensi dan berpengaruh.

Prospek utama projek ini adalah anak muda. Memandangkan anak muda adalah golongan yang bersemangat, vokal, jarang berfikir panjang dan mudah diperalatkan. Seterusnya ngo-ngo dan parti-parti politik.

Di sinilah kita akan bertemu dengan badan-badan yang berperanan memasarkan dasar Amerika. Seperti NED (National Endowment Of Democracy) yang terang-terangan menyatakan di laman webnya tentang aktiviti pembiayaan ke atas beberapa ngo di serata dunia termasuklah Malaysia.



Selain dari itu, badan seperti International Republican Institute (IRI), International Democratic Institute (IDI) dan International Centre Of Non Violent Conflict (ICNC) turut memainkan peranan.

Hangat juga diperbahaskan dalam wacana-wacana Barat, bahawa Revolusi Warna didalangi oleh George Soros yang menyediakan dana yang banyak kepada proksi-proksi Amerika.

⚫ Pendekatan.

Tipikal gaya mereka beroperasi adalah dengan memanipulasi slogan rakyat. Seolah-olah agenda mereka disokong oleh keseluruhan rakyat. Seterusnya diangkat slogan-slogan yang simplistik, agar mudah meraih sokongan orang ramai yang malas berfikir. Mereka mencipta arus.

Walaupun tidak menggunakan kekerasan fizikal, tetapi gemar mengaplikasikan kaedah provokasi atas alasan ia adalah ekspresi kekecewaan terhadap diskriminasi yang sedang berlaku. Lantas mewujudkan kekacauan dalam pelbagai bentuk.

Ini semua dibuat demi mewujudkan senario yang serba tidak stabil dalam negara. Terhasillah sikap totalitarian versi 'golongan tertindas'. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka akan dinaratifkan sebagai tidak demokratik lagi membelakangkan kemahuan 'rakyat'.

Ditambah lagi dengan propaganda media baharu yang turut menerima dana dari luar, mengolah sokongan kelihatan amat organik. Sedangkan ia hanyalah propaganda yang boleh direka.

⚫ Warna Yang Sinonim.

Mereka menggunakan warna sebagai syiar identiti kempen yang dibawa. Kebanyakkan warna yang dipilih amat mudah dikaitkan dengan unsur-unsur baik, yang agak sukar dinegatifkan.

Sebagai contoh warna Ungu yang sinonim dengan gerakan Feminisme. Perjuangan yang kononnya membebaskan wanita dari menjadi mangsa diskriminasi masyarakat tradisi. Tidak seperti merah jambu, warna ungu turut 'ngam' dipakai oleh lelaki.

Warna jingga pula sinonim dengan perjuangan Liberalisme yang cuba dijelmakan dengan nafas baharu. Seperti yang dipersembahkan oleh buku The Orange Book, Reclaiming Liberalism terbitan Liberal Democrats pada 2004.

Begitu juga bendera pelangi, merupakan lambang rasmi bagi gerakan LGBT seluruh dunia. Kita dapati kebelakangan ini, syarikat-syarikat gergasi mengambil langkah berani mempromosikan LGBT. Terdahulu syarikat kereta Honda, yang terkini pula syarikat minyak Shell. Mereka cuba memecah tembok agama dan tradisi ketimuran yang subur di Malaysia.

⚫ Normalisasi Gaya Hidup Haiwan.

Siri-siri provokasi seperti yang kita saksikan pada hari ini adalah bertujuan untuk membiasakan masyarakat agar menerima budaya Barat yang serba songsang. Mereka tahu, pada peringkat awal pasti mendapat tentangan keras.

Proses ini akan diulang-ulang sehinggalah masyarakat kita lali. Maka ketika itulah, mereka bakal meraih kejayaan merosakkan generasi baharu yang sejak awal kelahiran telah melihat kempen songsang tajaan Amerika.

⚫ Peka.

Inilah antara sudut yang amat perlu diperhalusi oleh pemain-pemain politik agar tidak terjerat. Jika tidak berwaspada, permainan 'Soft Power' bawaan Amerika menyebabkan kita turut didorong untuk bersama menjayakan agenda asing mereka.

Topik ini bukan teori konspirasi, tetapi isu penting yang hangat dibincangkan dalam wacana politik dunia. Walaupun cukup terlambat, namun menyedarinya hari ini jauh lebih baik daripada terus merasa selesa seolah-olah musuh tidak berbuat apa-apa.

Padanlah Allah berpesan agar jangan mudah terpengaruh dengan slogan yang kelihatan baik, hakikatnya serba merosakkan:

"Apabila diseru kepada mereka, janganlah kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi. Mereka menjawab "Sesungguhnya kamilah golongan reformis". Ketahuilah sesungguhnya mereka golongan perosak, sedangkan mereka tidak sedar" - al-Baqarah 11-12.

Abdul Mu'izz Muhammad
13 Oktober 2017.

Tuesday, October 10, 2017

NASIB PEMBELA??

PEMBELA YANG DIMANGSAKAN.

Kejatuhan Abbasiyyah merupakan sejarah yang memalukan umat. Tersimpan pelbagai pengajaran akibat tersampuk penyakit leka yang berpanjangan.

⚫ Ejen Tatar.

Pemerintah Tatar, Hulagu Khan berjaya menanam ejennya yang bernama Muayyidduddin al-Alqami ke dalam kerajaan Abbasiyyah dalam tempoh masa yang lama. Sehingga Alqami diberi kepercayaan sebagai orang paling kanan khalifah. Ramai yang tidak sedar hal ini kerana telah lama didoktrin agar jangan sibuk hal ancaman ke atas khilafah. Mereka diprogramkan untuk kekal lalai.

⚫ Petualang.

Alqami amat dipercayai ketika itu. Namun, dia jugalah yang kerjanya memujuk khilafah agar menyerah diri beralasankan perundingan 'win win situation'.

Dia sentiasa mempengaruhi khilafah supaya akur terhadap segala arahan Tatar. Kesan dari itu, kewaspadaan khilafah semakin tumpul dan tentera dibiarkan 'lemau' tanpa persiapan rapi.

Alqami juga berperanan mendedahkan data maklumat Abbasiyyah kepada Tatar. Di khalayak umum, dia dianggap sebagai orang kepercayaan & harapan Abbasiyyah. Namun hakikatnya, dia adalah perisik Tatar.

⚫ Mujahiduddin Aybak & Sulaiman Shah.

Ketika itu, muncul insan yang sedar dengan keanehan yang berlaku ke atas Abbasiyyah. Walaupun telah terlewat, Mujahiduddin Aybak mempersiapkan tentera Abbasiyyah yang masih lagi berbaki kesedaran. Diikuti oleh Sulaiman Shah.

Percikan api kesedaran umat untuk bangkit berjihad merupakan signal bahaya ke atas Tatar. Api tersebut mesti segera dipadamkan.



⚫ Plot.

Menyedari perkembangan tersebut, Hulagu mengarahkan Alqami agar cepat membunuh Aybak & Sulaiman. Ketika itu, Alqami amat dipercayai dan dianggap sebagai jurucakap Abbasiyyah.

Lantas Alqami mewartakan bahawa Aybak & Sulaiman bersama tentera mereka merupakan puak merbahaya yang mengancam keselamatan Abbasiyyah. Realitinya Tatar yang terancam. Sedangkan bangkitnya mereka adalah untuk melawan Tatar, semata-mata mahu membela Abbasiyyah.

Namun malangnya, kata-kata Alqami lebih dipercayai. Maka mereka dihukum bunuh atas tuduhan kononnya menderhaka & memberontak. Hakikatnya merekalah hero Abbasiyyah. Hulagu puas melihat jentera kerajaan Abbasiyyah diperalatkan untuk membunuh orangnya sendiri.

⚫ Kesal.

Setelah dari tragedi tersebut, Tatar selesa menawan Abbasiyyah tanpa tentangan. Baghdad tumbang dalam keadaan bogel tanpa maruah. Kota mengalirkan darah hanyir. Pembesar-pembesar dibunuh sekaligus. Khalifah digulung dalam permaidani, kemudian dipijak hingga mati. Masing-masing menanggung akibat atas kelalaian sendiri. Sejarah yang memalukan, kebodohan dan kealpaan umat menatijahkan jatuhnya sebuah empayar yang asalnya dibanggakan maju & berpengaruh.

⚫ Waspada Adalah Hikmah.

Tercatat pada anak panah tentera Tatar, sebaris jampi politik:

"Sekiranya Tuhan hendak menyempurnakan takdirnya, Dia berupaya membodohkan akal orang yang sepatutnya berakal"

Abdul Mu'izz Muhammad
10 Oktober 2017.

Sunday, October 1, 2017

MASIH ADA GAYA PEMIKIRAN FIRAUN DI MALAYSIA

FIRAUNISME.

Hari ini adalah hari tenggelamnya Firaun bersama kuncu-kuncunya di Laut Merah. Hari kemenangan Nabi Musa. Perayaan Hari Asyura' adalah manifestasi perlawanan antara Islam dan pemerintahan diktator.

Al-Quran mengulangi nama Firaun sebanyak 74 kali di dalam 26 surah. Sebagai penekanan, betapa kita umat Islam perlu mengenali perwatakan Firaun.

⚫ Takut Dengan Bayang Sendiri.

Kesan dari sikap gila kuasa, menyebabkan psikologi Firaun sentiasa diselubungi rasa terancam. Sentiasa merasakan ada orang ingin menjatuhkannya. Imam Ibnu Kathir telah menafsirkan surah Ibrahim ayat 49 menjelaskan tentang mimpi ngeri yang menimpa Firaun.

Mimpi tersebut menampakkan munculnya api dari Baitul Maqdis melimpah ke penempatan kaum Qibti yang ditakwilkan sebagai amaran bahawa akan muncul pencabar Firaun di kalangan Bani Israel. Menambahkan lagi rasa takut dengan bayang sendiri yang dideritai oleh Firaun.

⚫ Pukul Rata.

Ekoran dari ketakutan itu, Firaun menguatkuasakan akta secara pukul rata. Mana-mana wanita yang mengandung dari kalangan Bani Israel hendaklah disenarai-hitamkan. Seterusnya jika lahirnya bayi lelaki, wajib dibunuh.

⚫ Diktator.

Firaun adalah lambang karektor penguasa yang angkuh, sekaligus degil bencikan nasihat dan kritikan.

"Sesungguhnya Firaun angkuh di atas muka bumi" al-Qasas 4.

Bahkan Firaun mensyaratkan sesiapa yang mahu bersama dengan Islam, mesti meminta izin kepadanya terlebih dahulu. Sebagai contoh ketika golongan ahli sihir memeluk Islam, Firaun membentak:

"Apakah berani kamu beriman dengan Musa sedangkan kamu belum meminta izin pada aku" - al-Qasas 71.



⚫ Gemar Menyerang Peribadi.

Mengherdik, mengejek dan memperlekeh lawan tanpa membalas hujah yang sewajarnya. Firaun menyerang peribadi Nabi Musa yang tidak lancar dalam pengucapan sebagai cubaan melencong dari menjawab hujah yang dikemukakan.

"Inilah orangnya (Musa yang kononnya mahu menentangku), sedangkan cakapnya pun hampir tidak difahami" - al-Zukhruf 52.

⚫ Suka Ungkit Jasa.

Ketika Nabi Musa bersungguh menyampaikan mesej da'wah, Firaun bermudah-mudah memperlekeh Nabi Musa. Kamu budak lagi. Siapa yang makan garam dulu? Itulah gaya Firaun dengan naratif yang selalu kita dengar.

"Bukankah kami yang telah membesarkanmu (di dalam istana kami), waktu itu kamu masih budak" - al-Syu'ara 18.

⚫ Obses Dengan Pembangunan Material.

Firaun bukan sekadar menawarkan manifesto yang belum dijayakan. Bahkan dia membentangkan rekod dan bukti kejayaannya membangunkan Mesir. Firaun dilihat amat kompiten dari sudut material. Sedangkan yang ditimbulkan oleh Nabi Musa bukan isu pembangunan, tetapi isu aqidah. Firaun gagal memahami isu sebenar.

"Bukankah aku penguasa yang telah memajukan Mesir? Dan di bawah pentadbiranku sungai-sungai dapat mengalir. Maka apakah kamu tidak menyaksikan (kejayaan) aku?" - al-Zukhruf 51.

Sungai pada zaman tersebut adalah sistem perhubungan jarak jauh. Sama fungsinya seperti lebuhraya pada hari ini.

⚫ Projek Pembodohan.

Firaun suka pengikutnya bodoh. Logik Firaun, jika pengikutnya pandai susah pula untuk dieksploit dan ditipu olehnya. Maka projek pembodohan dilaksanakan sekian lama, agar cara berfikir pengikutnya boleh dikuasai. Firaun menganjurkan agar pengikutnya ikut membuta tuli dan berikan kepercayaan sepenuhnya kepada Firaun.

"Maka Firaun meringankan akal (memperbodohkan) kaumnya, maka mereka sentiasa patuh kepadanya" - al-Zukhruf 53.

⚫ Materialisme & Tahyul.

Firaun mendoktrin pengikutnya agar mengukur benar dan salah berdasarkan ukuran material. Jika kaya dan mendatangkan laba keuntungan, maka ia adalah benar. Jika miskin dan tidak mendatangkan laba keuntungan, maka ia adalah salah.

"(Jika Musa benar) mengapa tidak dipakaikan padanya gelang dari emas?" - al-Zukhruf 53.

Pada masa yang sama Firaun mendoktrin kononnya perjuangan yang benar mesti dihiasi dengan fenomena aneh. Padahal apabila mu'jizat Nabi Musa benar-benar terpampang depan mata, Firaun tetap degil.

"Ataupun (sepatutnya) malaikat datang mengirinya (Musa)" - al-Zukhruf 53.

⚫ Bergantung Dengan 3 Jentera.

• Think tank politik : Kumpulan strategis yang dipimpin oleh Haman.

• Ekonomi : Golongan korporat yang membiayai kos-kos aktiviti dan projek Firaun. Ketuanya adalah Qarun.

• Media Propaganda : Ahli sihir seramai 80 ribu orang yang memanipulasi minda rakyat dan menguasai persepsi mereka.

Misi media propaganda sememangnya menelan belanja yang besar. Di sini tergambar hubungan yang saling memerlukan antara 3 jentera di atas. Ahli sihir Firaun meminta peruntukan demi melangsungkan tugas mereka.

"Dan datang ahli sihir kepada Firaun lantas bertanya "Apakah kami beroleh upah sekiranya kami menang berlawan?" Firaun menjawab "Ya, dan sesungguhnya kamu benar-benar dikira golongan (jentera) yang dekat denganku" - al-A'raf 113-114.

⚫ Acah-acah Demokratik.

Banyak gimik yang Firaun lakukan untuk kelihatan kononnya sangat terbuka dan mendahulukan suara ramai. Gimik ini berjaya kerana majoriti rakyatnya telah dibodohkan. Maka majoriti yang bodoh itu sentiasa menyokong kejahatan Firaun. Lantas terhasillah demokrasi fantasi.

Firaun menyediakan pentas terbuka secara live, debat antaranya dan Nabi Musa. Bukankah itu kelihatan sangat demokratik? Boleh belek surah Taha ayat 23 hingga 27.

Begitu juga ketika Firaun mewartakan akta yang menyokong kezalimannya, dia mengolah agar dilihat kononnya keputusan dipilih oleh orang ramai. Firaun hanya mahu dilihat sebagai pelaksana yang menterjemahkan kehendak ramai.

"Apakah pandangan kamu semua?" - al-Syu'ara' 35.

Pungutan suara ini dibuat oleh Firaun untuk mencipta keputusan agar Nabi Musa diperangi.

⚫ Politik Ugut.

Apabila Firaun gagal memanfaatkan gimik demokrasinya, maka dia melancarkan ugutan. Sekejap bebas memilih, sekejap tidak boleh memilih. Apabila Firaun kaget melihat rakyatnya sudah mula tertarik dengan hujah Nabi Musa, maka Firaun mewartakan:

"Seseungguhnya jika kamu (Musa) menyembah tuhan lain selain aku, aku akan pastikan kamu tergolong di kalangan banduan" - al-Syu'ara 29.

⚫ Islamphobia.

Firaun menakut-nakutkan rakyatnya. Kononnya Islam yang dibawa oleh Nabi Musa mendatangkan bahaya kepada rakyat. Hakikatnya ajaran Nabi Musa langsung tidak mengancam keselamatan rakyat. Namun sentimen orang bawahan dimainkan oleh Firaun. Tujuannya adalah untuk menarik sokongan agar rakyat bersama-sama menentang Nabi Musa yang mengancam kuasa politik Firaun.

"Firaun berkata kepada pembesar-pembesar sekelilingnya, sesungguhnya Musa itu benar-benar ahli sihir. Dia berpotensi menghalau kamu semua dari tanah air ini" - al-Syu'ara' 34-35.

⚫ Tidak Faham Bahasa Bala.

Atas kedegilan Firaun, Allah menimpakan bala yang datang bertimpa-timpa sebagai peringatan dan mesej, bahawa permainan yang dimainkan oleh Firaun adalah permainan yang bahaya. Allah berfirman:

"Maka kami datangkan kepada mereka bala taufan, belalang, kutu, katak dan sungai darah sebagai bukti yang jelas. Tetapi mereka tetap menyombong diri dan adalah mereka kaum yang berdosa" - al-A'raf 133.

Allah mendatangkan bala yang memusnahkan kemajuan ekonomi Mesir yang cukup dibanggakan oleh Firaun. Taufan yang memporak-perandakan. Belalang, kutu dan katak yang mengancam industri pertanian. Air yang merupakan sumber kehidupan bertukar jadi darah.

Malangnya Firaun tidak menghiraukan mesej Allah, menganggap semua itu hanyalah bencana alam semulajadi.

⚫ Dendam Yang Membodohkan.

Inilah yang mendorong Firaun mampus. Dendamnya terhadap Nabi Musa meluap-luap. Hingga menyebabkan dia membuat tindakan bodoh. Hilang pertimbangan rasional.

Firaun mengerahkan semua tenteranya untuk dimusnahkan oleh Allah sekaligus. Firaun buat kerja bodoh dengan masuk ke Laut Merah sedangkan dia menyaksikan laut terbelah kerana mu'jizat Nabi Musa. Bila-bila boleh tertangkup semula, memandangkan tongkat suiz laut berada di tangan Nabi Musa.

"Dan kami mengizinkan Bani Israel melintasi laut. Lalu mereka dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya dengan penuh dendam dan permusuhan" - Yunus 90.

Kebodohan di saat akhir ini ditambah lagi dengan dorongan dari pengampu-pengampu Firaun yang dibelanya sejak dahulu. Mereka memotivasikan Firaun untuk buat apa sahaja walaupun tindakannya bodoh dan bunuh diri.

⚫ Kesimpulan.

Sebenarnya banyak lagi pengajaran dari karektor Firaun yang terakam di dalam al-Quran. Yang perlu kita faham, sikap sedemikian akan kekal bersilih ganti di kalangan manusia sepanjang zaman hinggalah kiamat. Kekalknya al-Quran, bermakna watak-watak yang ada di dalamnya turut kekal wujud.

Beruntunglah mereka yang melihat lakonan dunia dengan cerminan al-Quran. Semoga kita tidak jadi seperti Firaun.

Abdul Mu'izz Muhammad
1 Oktober 2017.