Di Mulakan Dengan

Di Mulakan Dengan

Surah An-Nur ayat 35

Surah An-Nur ayat 35
Amalkanlah ayat ini..insyaAllah urusan seharian dipermudahkan Allah

Monday, May 9, 2011

Kepimpinan dalam Memimpin.....

..:: Assalamualaikum ::..
Selawat dan Salam buat Rasul Junjungan
Muhammad s.a.w.
serta para isteri, sahabat, para ulama,
dan seluruh muslim dam mukmin,
semoga dalam rahmat Allah

Sekian lama ana tidak mencoret di blog ini. Atas alasan tidak berkesempatan. Hmmm, manusia, biasala, ada saja alasan, sama juga mcm ana.

Ok, tak perlu mukaddimah terlalu panjang, sebab rasanya, teman2 nak baca ape yg terbaru kan...

Cuba dalami kisah ini dan ambil pengajaran terhadapnya dalam kehidupan seharian kita.

Sebelum kewafatan Rasulullah SAW, Rasulullah SAW telah meyusun satu angkatan tentera untuk berhadapan dengan tentera Rom. Rasulullah SAW juga telah melantik Usamah Bin Zaid sebagai pemimpin bala tentera Muslim. Antara para sahabat yang terpilih untuk menjadi tentera muslimin untuk ke medan jihad ialah Saidina Omar Al Khattab. Namun ketentuan Allah mendahului segalanya, sebelum tiba tarikh keberangkatan bala tentera tersebut, Allah telah menjemput kekasih-Nya untuk kembali ke sisi-Nya. Kewafatan baginda Rasulullah SAW, meninggalkan jutaan kenangan buat umat Baginda. Perginya Rasulullah SAW dalam linangan air mata sambil melafazkan "Umat Ku, Umat Ku, Umat Ku" sebagai tanda kecintaan Baginda buat umatnya. Begitulah pengorbanan seorang pemimpin.

Setelah jasad Rasulullah SAW diuruskan, maka berhimpunlah ahlul hilli wal aqdi untuk melantik pemimpin. Berikutan syura yang dijalankan, keputusan diambil dan Saidina Abu Bakar As Siddiq telah dilantik oleh ahlul hilli wal aqdi sebagai khalifah. Setelah perlantikan dirasmikan, maka berucaplah Saidina Abu Bakar As Siddiq. Setelah tamat ucapannya, Saidina Abu Bakar As Siddiq telah didatangi oleh Saidina Omar Al Khattab. Maka berlakulah dialog antara kedua orang sahabat sejati RAsulullah SAW yang diredhai Allah itu.

Omar : Wahai Abu Bakar, Rasulullah SAW baru saja meninggalkan kita. Sebelum kewafatan baginda, telah disusun satu angkatan tentera bagi berhadapan dengan tentera Rom. Memandangkan tarikh keberangkatan angkatan tentera kita agak hampir, apakah pandangan mu, andainya kita tangguhkan dulu keberangkatan tentera kita ke suatu tarikh yang lain ? Dengan nada yang tegas, Saidina Abu Bakar As Siddiq menjawab usulan yang dimajukan oleh Saidina Omar Al Khattab.

Abu Bakar : Wahai sahabat ku Omar. Belum berubah pusara Rasulullah(SAW), maka engkau sudah mahu mengubah arahan Rasulullah SAW ? Demi Allah dan Rasul-Nya. Aku akan tetap menghantar tentera muslimin untuk berhadapan dengan tentera musyrikin.

Jawapan Saidina Abu Bakar As Siddiq yang tegas telah menamatkan dialog tersebut. Saidina Omar Al Khattab akur dengan keputusan sahabatnya.

Setelah tarikh keberangkatan tiba, maka berbarislah para tentera muslimin. Antara yang turut berbaris ialah Saidina Omar Al Khattab. Setelah khutbah dan nasihat dibacakan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq selaku khalifah. Saidina Abu Bakar As Siddiq telah turun dari mimbar Masjid Nabi dan berjalan menuju barisan tentera yang bakal bertolak ke medan jihad. Maka berjalanlah Saidina Abu Bakar As Siddiq menemui ketua tentera muslim, Saidina Usamah Bin Zaid rhu. Lalu berkatalah Saidina Abu Bakar As Siddiq dalam nada perlahan, tawaddhuk dan penuh rasa kehambaan kepada Saidina Usamah bin Zaid.

Abu Bakar : Sahabatku Usamah. Kau dilantik oleh Rasulullah SAW untuk mengepalai bala tentera ini, maka kekalkanlah dirimu di sana. Tidak akan ku ubah apa yang telah diisyaratkan oleh baginda Rasulullah SAW atas mu. Namun aku hanyalah seorang manusia yang lemah. Dan jawatan khalifah yang baru ku sandang ini, amat berat dan merupakan suatu ancaman buat diri ku. Ianya suatu amanah yang haram untuk aku khianati. Tiada daya ku atas usaha ku, melainkan dengan izin Allah. Maka ku harap belas ihsan mu, agar Omar Al Khattab diberi kelonggaran untuk tidak turut serta dalam angkatan perang ini. Agar dapat aku berbincang dengannya tentang hal ehwal pengurusan negara kita.

Kata-kata Abu Bakar As Siddiq itu mengundang linangan air mata keseluruhan umat Islam di Madinah. Manakah dapat dicari, seorang khalifah berjawatan tinggi, tetapi masih mengekalkan sifat tawadduk dan menjaga adab sesama pengikut ? Berkatalah Usamah :

Usamah : Wahai Abu Bakar Amirul Mukminin, jika begitu kehendak mu, Demi Allah dan Rasul-Nya, ku izinkan Saidina Omar untuk tinggal bersama mu di kota Madinah agar dapat dia menjadi pembantu mu, sebagaimana engkau pernah menjadi pembantu kepada Rasul kecintaan ku suatu masa dulu.

Maka tinggallah Sadina Omar Al Khattab di kota Madinah membantu Saidina Abu Bakar menjalankan urusan pentadbiran negara.

sahabat-sahabat sekalian...
 Walaupun kisah ini amat singkat. Namun disebalik kisah ini terdapat banyak suri teladan yang mampu kita pelajari. Namun tetap ada pengajaran yg besar pada kita.

Pentingnya kita bergerak dalam JEMAAH, atau saf kepimpinan.

Seterusnya, perlunya kita bergerak dalam JEMAAH yg mengambil SUNNAH RASUL sebagai panduan dalam pergerakan.

Peranan jemaah Ahlul Hilli Wal Aqdi dalam menentukan kepimpinan.

Sifat seorang pemimpin dan hamba Allah yang tawadduk dan dengan rasa kehambaan sebagaimana ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq kepada umat Islam di kala itu, juga Saidina Omar Al Khattab yang menjadi sahabat utama Rasulullah SAW, bersedia menjadi tentera biasa di bawah pimpinan Saidina Usamah Bin Zaid rhu.

Ketegasan dan kelembutan dalam melaksanakan titah perintah dari Rasulullah SAW sebagaimana ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq.

Pentingnya syura dalam mencari sesuatu keputusan sebagaimana ditunjukkan oleh Ahlul Hilli Wal Aqdi, Saidina Abu Bakar As Siddiq, Saidina Omar Al Khattab dan Saidina Usamah Bin Zaid rhu.

Pentingnya sahabat yang sejati dalam melaksanakan sesuatu mekanisme menuju matlamat.

Jawatan pemimpin bukanlah tiket untuk memperhambakan rakyat, tetapi merupakan suatu amanah yang HARAM untuk dikhianati.

Pentingnya mempunyai sahabat-sahabat yang sama-sama bersatu dari segi aqidah, ibadah, akhlak, hal khilafiah dan penentuan kawan/lawan dalam pentadbiran sebagai mana di tunjukkan oleh Saidina Abu Bakar AsSiddiq, Sasidina Omar Al Khattab dan Saidina Usamah Bin Zaid.

Semoga kita semua di berikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan Para Rasul ini.

Telah ALLAH pilih kita sebagai PEMIMPIN, wajarkah kita menjunamkan diri kelembah HINA setelah ALLAH mengangkat darjat kita melebihi MALAIKAT??

mutiara kata: 
"beruntunglah mereka yang ALLAH jemput kerumahNya(masjid) semasa hidupnya, kerana mereka yang ALLAH tidak jemput kerumahNya waktu hidupnya, Tidak malukah kita mahu memasuki SYURGA kelak?"

Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga).- Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim.


2 comments:

Wadi AR ツ said...

tudiaaa S/U permapen dah buat entri

Muhammad Hanafi Bin Sulaiman said...

eh ko ni... jgn bikin malu aku,huhu..